Hari isnin nanti,27 rejab kat nogori Sembilan cuti umum sempena Isra' Mikraj.Lega..dapat berehat 3 hari minggu ni...Pagi tadi kat sekolah buat sambutan awal untuk meraikan Isra' Mikraj terebut.Semua guru dan pelajar dihidangkan sarapan pagi dengan ceramah daripada ustaz Sobri,Pensyarah Kolej Komuniti Jempol,NS
Banyak pengajaran yang dapat diambil tadi.....
Ini adalah gambar semasa sambutan pagi tadi...guru dan pelajar bukan main khusyuk dengar ceramah tersebut...
Isra' Mikraj adalah dua peristiwa kembar menakjubkan yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW pada malam 27 Rejab. Peristiwa yang sangat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad itu dianggap sebagai penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurniaan Allah kepada Baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah.
Israk bererti perjalanan Nabi dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam al-Quran, seperti firman Allah bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – (Surah al-Israa', ayat 1).
Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh, dekat singgah sana Allah seperti yang digambarkan oleh al-Quran yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
"Penglihatan (Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." – (Surah an-Najm, ayat 13-18). Sidaratul Muntaha adalah tempat yang paling tinggi di atas langit ketujuh, yang dikunjungi Nabi Muhammad ketika Mikraj.
Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Melalui beberapa buah hadis, rasulullah telah mengkhabarkan kepada kita bahawa dalam perjalanan israk mikraj baginda melihat banyak gambaran melalui pemandangan yang diperlihatkan oleh allah s.w.t, dengan membawa maksud yang mendalam.Antaranya:
1- Rasulullah s.a.w melihat sekumpulan manusia yang bercucuk tanam,tumbuh,berbuah dan dituai semula. Setelah dituai ianya kembali tumbuh berbuah dan dituai lagi.Demikianlah proses itu berulang tanpa henti. Jibril a.s menerangkan kepada baginda tentang pembalasan kepada manusia beriman yang berbuat kebaikan dan kebajikan dengan berjihad ke-jalan allah semasa hidupnya. Maka balasan daripada perbuatan tersebut akan dinikmati berulang-ulang setelah berada dialam akhirat.
2- Rasulullah s.a.w diperlihatkan tentang sekumpulan manusia yang memakan daging busuk,dimana pada masa yang sama terdapat daging segar yang bermasak dan tersedia berhampiran dengan mereka, gambaran ini dijelaskan oleh jibril a.s tentang perlakuan manusia yang suka mengerjakan perbuatan keji iaitu "Zina", sedangkan disamping mereka telah ada suami dan isteri yang sah dan halal, atau mereka mampu untuk berkahwin,tetapi lebih suka melakukan perbuatan zina.
3- Baginda dibawa melalui ke-suatu kawasan yang sangat harum, diterangkan oleh jibril a.s dimana seorang ibu bersama anaknya yang mati akibat kezaliman yang dilakukan oleh firaun ke-atas mereka. Mereka sanggup mati kerana mempertahankan iman dan keyakinan kepada allah s.w.t.
4- Baginda juga dibawa melalui sekumpulan manusia yang mempunyai bebanan yang banyak dan berat, kemudian menambah-nambah lagi bebanan tersebut. Jibril a.s menerangkan perumpamaan tentang sikap manusia yang telah mempunyai amanah yang belum ditunaikan, pada masa yang sama, sanggup pula menerima amanah yang lain, yang akhirnya menjadi suatu bebanan yang amat berat untuk ditanggung bagi menunaikannya.
5- Peristiwa maha agong ini berakhir dengan pengurniaan ibadat tetap kepada manusia iaitu solat lima waktu. Pada asalnya baginda s.a.w menerima perintah mengerjakan 50 waktu solat dalam sehari semalam, namun setelah bertemu dengan Nabi Musa a.s dan diatas pandangannya, baginda s.a.w sanggup berulang - alik mohon mendapat pengurangan daripada allah s.w.t dan akhirnya kekallah 5 waktu sehari semalam. Itulah yang menjadi amalan wajib kepada kita dengan ganjaran daripada allah s.w.t sama seperti mengerjakan solat 50 waktu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan