30 Dis 2008

Tambah koleksi....

Seperti biasa kalau pergi kedai buku pasti ada saja novel yang kubeli.Ini antara koleksi terbaru novelku...

Semua penerbitan ada.Serasi di hati terbitan NB kara,Laman Rindu alaf 21 dan Bohemian terbitan Jemari Seni.Baru selesai baca Laman Rindu..Baca novel ni sebenarnya salah satu caraku melepaskan tension kalau banyak kerja...

29 Dis 2008

Bukit Merah Laketown Resort....

Perancangan selama setahun akhirnya terlaksana jua pada 27-29/12/08.Dah lama nak poie Bukit Merah ni,tapi asyik tak jadi je.. Bila dah tempah hotel melalui online maka terpaksa le jugak pergi.Saja cari mood untuk mulakan kerja tahun 2009 nanti.Percutian kali ni ditemani oleh Fiza dan Aziah.Rupanya jauh gak Bukit Merah ni...
Ini gambar yang sempat diambil sepanjang perjalanan...

Bila sampai je kat Hotel penginapan,tension sebab beratur hampir 2 jam untuk check in.Ramainya orang,pengalaman ngeri ni...Jam 5pm baru dapat masuk bilik.
ini le hotelku...

Sepanjang 3 hari 2 malam kat sini,puas le ronda seluruh Bukit Merah Laketown Resort ni...
Ini antara gambar kenangan di sana..


Esok dah kena poie sekolah...meeting guru jam 8.30am..letihnya....

26 Dis 2008

Awal muharam 1430H...

سلامت تاهون بارو 1430هجرة بوات سموا اومت إسلام


Hanya tinggal dua hari lagi kita berada di tahun 1429h.Semoga tahun baru 1430 hijrah nanti menjadikan kita insan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya,InsyaAllah....
Sempena awal muharam nanti,sama-samalah kita hayati dan amalkan risalah ini..

Antara amalan-amalan sunat bulam Muharam ialah:
1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharam selepas Maghrib 3 kali


Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharam):
1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.


Sumber:Jabatan Mufti Negeri Melaka

24 Dis 2008

Kebun Mimpi..

Akhirnya dapat juga aku khatam Kebun mimpi ni.Sebenarnya, kiriman buku ni dah sampai hampir sebulan tapi oleh kerana aku balik bercuti di kampung,maka aku amanahkan kepada kak mimi menyimpannya untukku.Malam semalam hanya sempat habiskan cerita kakSu dan Syud...itupun berjaga sampai pukul 2 lebih.Balik kursus tadi sambung pulak cerita rnysa.
Kebun Mimpiku..

Terima kasih untuk ketiga-tiga penulisnya yang sudi mencoretkan sesuatu di bukuku itu!Thanks Kak Su kerana dah tunaikan permintaan saya tu....
Bolehleh le berlagak ngan si Ayu ni....jangan jealous!


Cerita kaksu,Kebun Mimpi walaupun dah baca kat dalam blog kakSu tapi masih tak jemu jua dibaca.
Cerita Syud pulak buat aku tersengih-sengih malam-malam buta...Mujur tak ada orang lain nampak,kalau tak dah pasti aku kena hantar kat Hospital Bahagia..he..he...
Cerita rnysa pulak penuh dengan pengajaran,aku suka dia selitkan maksud ayat-ayat al-Quran di dalam ceritanya!Inilah yang dikatakan "cerita yang berilmu"
Nampaknya bertambah lagi le koleksi novelku..


Ini antara yang ada dalam simpananku,banyak lagi yang tak ada..dipinjam oleh teman-teman.Ada bukuku yang hampir setahun belum dipulangkan.waaaaaaa!!!

23 Dis 2008

letihnya......

Alhamdulillah,Syukur pada Ilahi akhirnya aku sampai juga kat nogori sembilan ni setelah memandu 7 jam lebih...letihnya!!!!Esok ada Program Pembangunan Organisasi(PrOD) kat SMKBBS untuk semua KB Zon Bahau.Bencinya...cuti terpaksa dipendekkan dan hari jumaat nanti pulak ada meeting lagi.
Selama sebulan cuti di kampung,Sedih rasanya kini terpaksa berpisah dengan semua orang yang aku sayang...terutamanya anak buah kesayanganku si Farah ni..


20 Dis 2008

Fadilat بسم الله الرحمن الرحيم

Dua malam lepas,rumah abangku dimasuki pencuri.Wang tunai hampir RM2000 dan handphone kena ambil.padahal kata abangku,handphone tu betul-betul ada kat tepi kepalanya.Boleh dia tak sedar apa-apa...

Untuk peringatan semua,Sebelum tidur bacalah بسم الله الرحمن الرحيم sebanyak 21 kali,InsyaAllah akan aman daripada gangguan syaitan, kecurian, maut yang mendadak dan bala.
Sama-samalah kita amalkan agar terhindar daripada perkara yang kita tidak ingini....

17 Dis 2008

Kuku....

Aku memang pantang tengok orang yang berkuku panjang.Setiap kali masuk dalam kelas,aku akan pastikan pelajarku tak ada yang berkuku panjang.Geli semacam je kalau lihat ada yang berkuku panjang.
Memotong kuku termasuk dalam amalan sunat. Hal ini disebut dalam hadis iaitu daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (riwayat Muslim)

Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu Escherichia coli(E-Coli). Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun Kita Mencuci tangan dengan sabun.

Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi.

Cara untuk memotong kuku.


Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan,kemudian kaki kiri. Menurut Imam Nawawi, sunat memotong kuku bermula dari jari tangan kanan keseluruhannya dari jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri bermula dari jari kelingking hingga ibu jari. Sementara kuku kaki pula bermula dari kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.

Harus seseorang memotong menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jarinya. Selesai memotong kuku segeralah membasuh tangan dengan air. Ada riwayat mengatakan bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.

Waktu Memotong Kuku

Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi saw memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani). Sementara itu, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

14 Dis 2008

Zikir harian.....

Untuk peringatan diriku dan insan-insan yang kadangkala lupa untuk mengingati Allah.
Sama-samalah kita membacanya setiap hari...

13 Dis 2008

Imam Syafie amat menghormati guru...

Guru adalah insan yang amat istimewa.Mereka adalah insan yang mesti kita hormati selepas ibu bapa kita.

Ini adalah salah satu cerita tentang Imam Syafie dengan gurunya..
Salah satu keistimewaan Imam Syafie ialah dari segi menghormati guru.
Pada suatu hari, sedang dia memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan menerpa badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihatkan perlakuan Imam Syafie sedemikian. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie perihal kenapa dia memeluk badwi tersebut. Lalu Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie. Sekali lagi mereka bertanya tentang apakah yang diajarkan oleh badwi itu kepada Imam Syafie?

Jawab Imam Syafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka. Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu"
Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Syafie amat menghargainya dan menghormati gurunya itu.

Imam Syafie juga amat menghormati gurunya iaitu Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) walaupun Imam malik sudah meninggal dunia. Apabila dia menziarahi makam Imam Malik dia tidak berqunut semasa bersembahyang subuh ditepi makam Imam Malik. Ini kerana dalam Mazhab Maliki tiada qunut waktu subuh walaupun dalam Mazhab Syafie ada qunut sewaktu sembahyang Subuh.

Imam Syafie juga memastikan dia tidak tidur dengan kakinya menghala kerumah Imam Malik sebagai menghormati gurunya itu.

Hormatilah guru agar segala ilmu yang diajar kepada kita akan diberkati oleh Allah Subhanahu wataala...

11 Dis 2008

3 Cahaya Di hari Kiamat....

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat


Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :

Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.

Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.

Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.



Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :

"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia,
mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan
mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum
azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia
sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."

8 Dis 2008

Hari Raya Aidil Adha...

Raya haji tahun ni meriah rasanya sebab masih dalam cuti sekolah.Banyak juadah yang disediakan oleh emak dan kaklongku.Aku dan kak yah menjadi pembantu setia mereka.kakakku Min tugasnya menyiapkan kek lapis,kek coklat dan kek oren.
Inilah antara juadah raya haji tahun ni...

Esok makan daging korban pulak,nampaknya balik nogori nanti kena diet le....

7 Dis 2008

Kelebihan Zulhijjah....



Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Sumber:
http://inijalanku.wordpress.com/

5 Dis 2008

3 Dis 2008

Pertemuan....

Cuti kali ini,akhirnya segala perancangan untuk bertemu dengan Asmurni terlaksana jua.Walau hujan mencurah-curah,aku teruskan jua rancangan ke Kuala Terengganu.Hajatnya hanya bermalam satu malam sahaja di rumahnya tapi akhirnya terpaksa tinggal 2 malam gara-gara tersekat dek banjir!


Sepanjang 2 hari kat rumahnya,kami merayau seluruh bandar Kuala terengganu mencari tempat makan yang sedap-sedap!Rupanya dia selama ni hampir setahun semenjak kematian bapanya,asyik makan kat kedai je...


Halaman hadapan rumah baru As..

2 Dis 2008

Ibadat Korban....

Hanya tinggal 6 hari lagi umat Islam kat Malaysia akan menyambut Aidil Adha.Sempena sambutan hari raya korban,marilah kita sama-sama mengingati kembali tentang ibadat korban tersebut...


MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Pada ketika ini para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji. Sebagaimana yang kita maklumi, ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang diwajibkan bagi mereka yang berkemampuan mengerjakannya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 96 – 97, tafsirnya :
"Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula di bina untuk manusia (ibadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata yang menunjukkan kemuliaannya di antaranya ialah Makam Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur ingkar akan kewajipan ibadat haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha kaya, tidak berhajatkan sesuatu pun dari sekalian makhluk".

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada musim haji ialah Ibadah Korban. Sesungguhnya ibadah korban itu hukumnya Sunat Mua’qadah iaitu sunat yang sangat dituntut, lebih-lebih lagi kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahi rezeki kepada mereka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini". - Riwayat Ibnu Majah.

Adapun sejarah korban itu bermula pada zaman Nabi Adam Alaihissalam lagi, sebagaimana yang telah diceritakan dalam Surah Al Maa-idah ayat 27, tafsirnya :
"Dan bacakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah mengenai dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban untuk mendampingkan diri kepada Allah. Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima korban daripada yang lain (Qabil)".

Mengenai persembahan korban Habil dan Qabil itu, ahli tafsir mengatakan bahawa pasangan kembar Habil yang lahir bersamanya bernama Iqlimia adalah seorang perempuan yang cantik, manakala pasangan kembar Habil bernama Layuza merupakan seorang perempuan yang kurang cantik. Sudah menjadi syariat Nabi Adam Alaihissalam untuk mengahwinkan anak perempuan dengan anak lelaki dari kandungan yang berlainan.

Qabil merasa iri hati dengan saudaranya Habil kerana mendapat perempuan yang cantik dan demi untuk kepentingan dirinya, dia ingin mengahwini pasangan kembarnya Iqlimia. Meskipun bapanya berharap agar dia mengikut perintahnya dengan mengahwini Layuza, namun dia enggan mematuhinya. Lalu mereka pun membuat perundingan dan masing-masing bersetuju untuk menyembahkan korban.

Korban Qabil berupa hasil tanaman yang rosak dan Habil pula berkorban dengan seekor kibas yang sihat dan gemuk. Lalu Allah Subhanahu Wata'ala menerima korban Habil. Ahli tafsir mengatakan bahawa kibas itu di angkat ke Syurga sehingga Allah Subhanahu Wata’ala menebus Nabi Ismail Alaihissalam dengan kibas tersebut.

Dalam sejarah lain juga menceritakan bagaimana 'Abdul Mutalib telah bernazar bahawa jika dia kurniakan oleh Allah Subhananhu Wata’ala dengan sepuluh orang anak nescaya dia akan menyembelih salah seorang daripada anak-anaknya sebagai korban. Apabila saja ‘Abdul Mutalib dikurniakan dengan sepuluh orang anak, maka 'Abdul Mutalib pun memohon nazarnya dengan melakukan undian ke atas anak-anaknya untuk dijadikan korban. Hasil undian tersebut jatuh kepada anaknya yang bernama Abdullah iaitu ayahanda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Tetapi orang-orang Quraisy menghalang penyembelihan dilakukan ke atas Abdullah, kerana mereka khuatir perbuatan itu akan menjadi ikutan yang berterusan. Akhirnya setelah memikirkannya, ‘Abdul Mutalib bersetuju menebus Abdullah dengan seratus ekor unta untuk dijadikan korban.

Sesungguhnya ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada Tahun Kedua Hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri Allah Subhanahu Wata’ala, sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang. “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Subhanahu Wata’ala.” Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikannya.

Manakala di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, daripada Zaid bin Irqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya, maksudnya :
"Ia adalah sunah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka bertanya lagi : “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab : “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemedulian dan perihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihi Massalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada Hari Raya itu nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban. Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Hajj ayat 37, tafsirnya :
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarakan Allah kerana mendapat nikmat pertunjukkannya. Dan sampaikanlah berita gembira dengan balasan yang sebaik-baiknya kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".


Sembelihan sempena ibadat korban


Dipetik dari laman web Pelita Brunei